Sunday, January 08, 2012

4 hari 3 malam di Kuala Terengganu

Bismillahirrahmaanirrahiim..

Assalamualaikum wbt...

Segala puji hanya selayaknya untuk Allah azzawajal.Selawat dan salam keatas junjungan mulia rasul kita Nabi Muhammad SAW juga ahli keluarga dan sahabat dan pengikut sahabat serta pengikut-pengikut yang mengikuti mereka dari masa ke semasa hingga hari akhir.

Apa khabar sahabat-sahabat semua.Mudah-mudahan Allah sentiasa memberkati hidup kita.Semoga Allah sentiasa kasih akan kita dan menjadikan hati kita kasih kepada Allah, juga kepada yang akan memberi syafaat kepada kita pada hari akhir kelak iaitu Nabi Muhammad SAW.Alhamdulillah hari ini hari terakhir saya di Kuala Terengganu.Pukul 2 petang nanti saya akan menaiki bas ke Kota Bharu dan kembali semula ke pondok.Alhamdulillah dan terima kasih Allah kerana memberi daya dan kekuatan untuk saya sampai di Kuala Terengganu ini.Dan memberi saya rasa ingin berkongsi kepada sahabat-sahabat saya disini.

Saya sampai di Kuala Terengganu pada hari Khamis dalam pukul 11.30 pagi dan bertolak dari Pasir Tumboh pada pukul 8 pagi.Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam setengah.Alhamdulillah sampai juga dinegeri tempat batu bersurat dijumpai.Terima kasih juga kepada rakan saya Huzaifah yang sudi menumpangkan saya dirumah beliau.Beliau tinggal di Seberang Takir.Tak jauh dari Kuala Terengganu dan untuk sampai ke rumahnya kami perlu menaiki bot penambang.Tambangnya RM1.Jarak perjalanan mengambil masa 10 minit.Tak jauh.Dekat saja dan tidak sempat untuk merasa loya atau muntah.

Hari pertama saya dibawa berjalan melawat bandar Kuala Terengganu.Bandar yang berdekatan dengan laut sangat sesuai dengan jiwa saya yang sukakan laut.Sangat menenangkan bila ditiup angin pantai.Deruan ombak menghempas pantai.Wah dah macam lirik lagu pulak.Zohor saya pada hari pertama disurau Al Mawaddah Ketapang Takir.Kemudian perjalanan diteruskan ke Masjid Kuala Ibai atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung dan Asar disana.Selepas Asar perjalanan diteruskan ke Masjid Kristal yang bernilai RM23 Juta.

Hari kedua pagi-pagi lagi dah bergerak ke Masjid Rusila untuk menghadiri kuliah Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.Kemudia bergerak semua ke Kuala Terengganu dan mendirikan Solat Jumaat di Masjid Batu Burok kerana Ustaz Azhar akan berkuliah disana.Selesai kuliah Ustaz Azhar, perjalanan diteruskan ke Batu Rakit pulak kerana Ustaz Azhar akan berkuliah di masjid Pak Tuyu.Selesai kuliah bergerak semula ke Kuala Terengganu dan saya menginap di Hotel Teratai RM60 satu malam.

Hari ketiga pagi-pagi lagi dah bergerak ke Kampung Gaung Kuala Berang.Perjalanan mengambil masa 30 minit.Ustaz Azhar menyampaikn kuliah Dhuha sempena sambutan 100 tahun Islam di Terengganu.Setelah selesai program itu sahabat saya mengajak saya ke Air Terjun Sekayu.Cantik dan bersih airnya.Cuma tak berapa cantik disitu ialah pengunjung-pengunjungnya.Lalu saya terlelap disitu.Balik dari Sekayu terus menuju ke Batu Burok Beach Resort.Sewa RM95 satu malam.Tepi Pantai Batu Burok.Setelah berehat perjalanan diteruskan ke Masjid Banggul Peradung Manir.Usai kuliah saya balik ke resort dan tidur.

Hari keempat saya disini cyber cafe Seberang Takir ini menaip blog.:) sambil menunggu untuk menaiki bas balik semula ke Pondok.Alhamdulillah dan terima kasih Allah kerana memberi kekuatan untuk merasai pengalaman manis serta pengalaman ilmu berada di Kuala Terengganu.Terasa di Kuala Terengganu ini banyak sangat ilmu dan kuliah-kuliah.Saya rasa sama juga ditempat-tempat lain cuma saya jer kurang mengetahui atau perkara ini tidak di war-warkan..Wallahua'alam.Semoga Allah permudahkan urusan saya dalam mencari ilmu.Dan dapat saya perhatikan di masjid-masjid atau disurau-surau di sekitar Kuala Terengganu ini imamnya adalah orang-orang muda.Dan yang menghadiri kuliah-kuliah juga orang-orang muda.Alhamdulillah nampaknya golongan muda dah kembali semua kepada agama Allah.Dan rakan saya Huzaifah ini juga adalah Imam di masjid Seberang Takir ni.Umurnya baru 23 tahun.Kesimpulan tentang kembara saya ini adalah kebangkitan golongan muda kepada agama Islam sedang giat berkembang.Semoga perkembangan yang positif ini berjangkit kepada negeri-negeri lain terutamanya dinegeri kelahiran saya, Johor.

No comments: